Saturday, 18 May 2019

Air Yang Berubah

Hukum air mutlak apabila berubah disebabkan sesuatu:
Hukumnya seperti air musta'mal, suci pada zatnya tetapi tidak harus bersuci dengannya dengan beberapa syarat, dan kalau hilang salah satu daripada syarat itu maka harus bersuci dengan air itu, syaratnya adalah seperti berikut:

1- Perubahan itu dengan sebab sesuatu benda yang suci, maka sekiranya yang mengubah itu adalah najis, maka air itu telah menjadi najis.

2- Perubahan itu dengan bercampurnya sesuatu kedalam air tersebut, seperti kopi, lalu ia menjadi air kopi. Adapun sekiranya dengan benda yang tidak larut didalam air seperti kayu, maka tidak mengubah hukum air tersebut dan sah bersuci dengannya.


Maksud dari percampuran: Benda yang tidak boleh dipisahkan daripada air, ataupun pandangan mata kasar tidak mungkin dapat membezakannya dari air.

 Maksud dari tidak larut: Benda yang boleh dipisahkan daripada air, ataupun pandangan mata kasar boleh membezakannya dari air.

3- Perubahan yang jelas dilihat sehingga ia menghilangkan nama air mutlak, seperti air jus dan kuah dan teh, maka tidak sah bersuci dengannya. Adapun perubahan yang sedikit, maka tidak memudaratkan hukum air tersebut.

4- Ia bukanlah sebahagian dari air tersebut, yakni air itu tidak berhajat kepadanya. Melainkan sesuatu yang tidak asing dari air, seperti lumut, sah bersuci dengan air tersebut meskipun telah bercampur dengan lumut.

Air Musta'mal

Kedua: Air itu suci pada zatnya, tetapi tidak dapat menyucikan yang lain- salah satu daripadanya adalah air musta'mal:

Pengenalan air musta'mal: Air yang telah digunakan untuk penyucian yang fardhu, seperti basuhan pertama wudhuk.


Syarat air musta'mal ada empat:
1- Air itu sedikit, yakni kurang dari dua kolah.
2- Air itu telah digunakan untuk penyucian yang fardhu, sama ada untuk mengangkat hadas atau menghilangkan najis.
3- Air itu telah terpisah dari kulit, maka selagimana air itu berada diatas kulit, maka tidak dinamakan air musta'mal.
4-  Orang itu tidak berniat untuk menjadikan tangan sebagai alat mengambil air (gayung).   


Niat ini bagi yang mandi wajib adalah setelah  berniat untuk mandi dan bersamaan dengan basuhan pertama pada anggota tubuh. Jika berniat setelah tangannya menentuh air, maka air sedikit tersebut menjadi musta’mal. Bagi yang berwudu, niat ini waktunya setelah membasuh muka dan ketika ingin membasuh kedua tangan. Jadi, walaupun tangan keluar-masuk pada air yang sedikit, ketika diniati terlebih dahulu, ia tidak akan menjadikan air musta'mal.

Air Musyammas

Syarat-syarat yang menjadikan air musyammas itu makruh ada sembilan, maka sekiranya kurang syarat walaupun hanya satu, maka hilanglah hukum makruh menggunakan air tersebut, dan syarat-syarat itu terkumpul dalam rangkap syair yang ditulis oleh sebahagian ulamak:

قد كرهوا مشمسا تأثرا
حالة تأثير لحي قررا
ان في اناء منطبع لا نقدي
بوقت حر لا بوقت برد
ببدن ببلد الحر و لم
يكن معينا و لم يخش الالم


Secara ringkas, syarat-syarat itu adalah:
1- Air itu terkesan dengan kepanasan matahari.
2- Yang menjadikan air itu makruh adalah hanya ketikamana air itu digunakan dalam keadaan ia terkesan dengan kepanasan matahari, yakni ketika ia sedang panas.
3- Air itu digunakan keatas sesuatu benda yang hidup.
4- Air itu berada dalam bekas yang diperbuat dari barang galian seperti besi dan tembaga dan timah, melainkan emas dan perak.
5- Air itu menjadi musyammas ketika waktu panas.
6- Air musyammas itu berada di negeri-negeri yang dikenali dengan kepanasan suhunya seperti Tanah Hijaz dan Hadramaut.
7- Terdapat air lain selain air musyammas tersebut yakni penggunaan air musyammas itu boleh dielakkan.
8- Ketika air itu digunakan, tidak dikhuatiri bahwa ia akan menyebabkan kesakitan, maka sekiranya terdapat risiko dan dikhuatiri akan menyakiti sesuatu yang hidup, maka hukum untuk bersuci dengannya jatuh kepada haram.



 Sebab kemakruhan air musyammas:
Bekas air musyammas tersebut akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, dan bau itu boleh memudaratkan dan menyebabkan penyakit sopak. Mengikut pendapat Imam Nawawi pula, dalil itu tidak boleh digunapakai, dan beliau berpendapat bahwa air musyammas itu tidak dimakruhkan.


Sepertimana yang telah disebutkan oleh pengarang kitab Sofwah Zubad:
Pendapat yang terpilih mengenai air musyammas adalah air tersebut tidak dimakruhkan

Bahagian Air

Bahagian-bahagian air mutlak dari segi penggunaannya yang makruh, terbahagi kepada dua bahagian:

Pertama: Air yang tidak makruh digunakan.
Kedua: Air yang makruh digunakan, dan ia ada empat jenis:
1- Air musyammas kerana dikhuatiri boleh menyebabkan sopak.
2- Air yang terlampau panas kerana ia akan menahan orang itu dari menyempurnakan wudhuknya.
3- Air yang terlampau sejuk kerana ia juga menahan orang itu dari menyempurnakan wudhuknya.
4- Air yang diambil dari tanah yang digunakan tanpa izin tuannya.


Bab Air

Pengenalan air: Ia adalah aliran jernih yang halus, warnanya berubah mengikut warna bekas, Allah menciptakan perasaan puas ketika menelannya.

Bahagian-bahagian air dari segi sumbernya dan asalnya ada tujuh:
Tiga daripadanya berasal dari langit dan ia adalah: air hujan, air salji, air embun.
Dan empat daripadanya berasal dari bumi dan ia adalah: air laut, air perigi, air sungai dan air mata air.

Sebaik-baik air adalah sepertimana yang telah tertulis dalam beberapa rangkap syair sebahagian ulamak yang berpendapat:

وأفضل المياه ماء قد نبع
من بين أصابع النبي المتبع
يليه ماء زمزم فالكوثر
فنيل مصر ثم باقي الانهر

Sebaik-baik air adalah air yang keluar
Dari antara jari-jari Nabi yang menjadi ikutan ummah
Yang selepasnya adalah air Zamzam kemudian air dari telaga Kauthar
Kemudian air sungai Nil yang berada di Mesir kemudian air sungai-sungai yang lain

Bahagian-bahagian air dari segi hukum:
Pertama: Air yang suci lagi menyucikan, dan ia dinamakan thohhur dan mutlak.

Makna mutlak adalah air yang tidak bercampur dengan apa-apa dalam pandangan seseorang yang mempunyai pengetahuan mengenai air.

Termasuk dalam hukum air mutlak adalah air muqayyad munfak yakni yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang tidak mengubah baunya atau rasanya atau warnanya, seperti air perigi, air laut, maka ia juga dipanggil air mutlak dan hukum bersuci dengannya adalah sah.

Berbeza dengan air muqayyad lazim, yakni air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang tidak boleh dipisahkan dari zat air tersebut seperti air mawar, air kopi dan jus, maka ia tidak dinamakan air mutlak dan hukum bersuci dengan air muqayyad lazim adalah tidak sah.

Tujuan Bersuci

1- Wudhuk.
2- Mandi wajib.
3- Tayammum.
4- Menghilangkan najis.


Perkara-perkara yang boleh digunakan untuk bersuci ada empat:
1- Air yang mana ia suci lagi menyucikan, yakni air mutlak.
2- Tanah yang mana ia suci untuk dirinya dan juga suci untuk yang lain, dan tanah itu juga asli dan terdapat padanya debu suci.
3- Samak yang mana alat untuk menyamak itu mampu untuk menghakis lebihan-lebihan yang berada di kulit tersebut.
4- Batu untuk beristinjak yang mana batu itu kesat, keras, bersih, dan bukan sesuatu yang dimuliakan.


Perkara-perkara yang perlu untuk mengetahui cara-cara bersuci:
1- Ijtihad.
2- Bekas yang digunakan untuk bersuci.


Sebahagian ulamak berpendapat dalam bab ini:
Perantaraan untuk bersuci ialah tanah, begitu juga samak dan batu untuk beristinjak, perkara yang perlu untuk sampai ke perantaraan itu ialah bekas untuk berwudhu', dan ijtihad diperlukan pada zaman yang seterusnya yakni selepas zaman Nabi Muhammad.

Bab Bersuci

Pengenalan bersuci dari segi bahasa adalah bersih dan suci daripada kekotoran yang zahir seperti suci daripada hadas dan najis, adapun dari segi makna adalah suci daripada penyakit hati seperti bangga diri, sombong, dengki dan suka menunjuk-nunjuk.

Dari segi syarak pula adalah mengangkat hadas atau menghilangkan najis, atau apa yang sama erti dengannya, atau apa apa yang sama gambaran dengannya.

Dan ini adalah pengenalan mengikut pendapat Imam Nawawi dan ini adalah huraiannya:

1- Mengangkat hadas: Seperti wudhuk dan mandi wajib.                                               

2- Menghilangkan najis: Seperti istinjak dengan air dan membasuh baju yang terkena najis.

3- Apa yang sama erti dengan makna mengangkat hadas: Seperti tayammum, dan wudhuk bagi orang dalam keadaan darurat: seperti berterusan buang air kecil, kerana pada hakikatnya, hadas mereka tidak akan terangkat kerana mereka berterusan berhadas.

4- Apa yang sama dengan makna menghilangkan najis dan yang ketiga pada basuhan di tangan dan anggota selain daripadanya, dan kedua-dua ini tidak dikira mengangkat hadas sedangkan gambarannya seperti basuhan yang pertama.

5- Apa yang sama gambaran dengan mengangkat hadas: Seperti mandi yang disunatkan, dan memperbaharui wudhuk, dan basuhan yang kedua dan ketiga ketika wudhuk, dan kedua-dua basuhan ini pada hakikatnya tidak dikira mengangkat hadas sedangkan kelakuan membasuh itu adalah seperti basuhan yang pertama.

6- Apa yang sama dengan gambaran menghilangkan najis: Seperti basuhan yang kedua dan ketiga dalam menghilangkan najis, dan kedua dua ini tidaklah menghilangkan najis walaupun kelakuan membasuh itu seperti basuhan yang pertama.